Ahad, 28 Februari 2010

Kepentingan ICT Dalam Pembangunan Masyarakat Terkini

Dipetik dari Kertas Kerja Seminar PBB bertajuk "Kepentingan ICT Dalam Pembangunan Masyarakat Terkini" oleh SUK
1. Pengenalan

Kebangkitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), terutamanya Internet telah membuka minat dan harapan yang baru dalam pembangunan ekonomi terutamanya dalam masyarakat di negara-negara yang membangun seperti di negara kita.
Banyak yang berpendapat bahawa teknologi baru ini dapat memberi ruang lintas yang lebih cepat untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup jika dibandingkan dengan proses dalam era atau zaman perindustrian sebelum ini.
Teknologi Maklumat dan komunikasi (ICT) secara asasnya terbahagi kepada tiga kategori iaitu (1) Komputer (2) Komunikasi dan (3) Komputer dankomunikasi yang berteraskan Internet.


Komputer

Komputer merupakan pembaharuan teknologi yang termaju dan canggih pada pertengahan abad ke 20. Perkembangan teknologi ini begitu cepat dewasa ini adalah kerana kos atau harga komputer begitu rendah dan telah dapat menjadikan alat tersebut terutamanya komputer peribadi dapat dimiliki oleh semua golongan. Dengan pembelian menerusi KWSP dan pinjaman pembelian komputer dari kerajaan, pengunaan komputer telah menjadi begitu meningkat. Terdapatnya perisian yang terbaru dan canggih telah membantu menjadikan pekerjaan kita menjadi lebih cekap dan cepat seperti pengunaan CAD/CAM dalam melukis lakaran dan pelan-pelan bangunan, GIS untuk mencartakan peta dan perisian perdagangan, perakauanan dan sebagainya untuk membantu menjadikan pekerjaan yang dulunya adalah rumit dan rutin lebih cepat dan mudah.

Komunikasi

Sistem komunikasi adalah aspek yang terpenting dalam kehidupan pada masa kini. Komunikasi terbahagi kepada dua jenis, sehala dan dua-hala. Sehala adalah komunikasi yang menggunakan radio dan televisyen manakala komunikasi dua-hala ialah yang menggunakan telefon, telegraph, faks dan sebagainya.

Komputer dan komunikasi yang berteraskan Internet

Internet merupakan pembaharuan dalam teknologi komputer dan komunikasi. Internet mengadakan perhubungan antara komputer dengan komputer dan sekarang ini komputer boleh berhubung dengan telefon sellular menerusi kaedah SMS (Short Messaging Servises). Internet sekaran ini telah memudahkan pencarian maklumat sehingga maklumat yang dahulunya susah atau tidak boleh didapati hanya terpapar di skrin dengan hanya menekan punat pada papan kekunci komputer.
Walaupun teknologi yang ada telah dapat membawa kita ke hadapan ke era teknologi yang tercanggih dan terkini namun masih banyak lagi penduduk-penduduk dunia yang masih dalam keadaan daif dan miskin terutamanya di negara-negara yang mundur.
Mengikut statistik dari Bank Dunia 2000, dianggarkan bahawa 1.2 billion orang yang berada di bawah paras kemiskinan iaitu yang berpendapatan kurang dari US$ l sehari atau RM 120 sebulan. Dan dari jumlah itu 900 juta adalah mereka yang tinggal di benua Asia Pasifik.
Di Asia Tenggara sahaja, 50% peratus daripada penduduknya adalah buta huruf di negara seperti Kemboja dan Vietnam, kurang dari setengah daripada isirumah yang mempunyai bekalan air bersih.
Namun begitu, sejak empat dekad yang lalu beberapa negara-negara perindustrian baru (Newly Industralised Nations – NIEs) seperti Hong Kong, China, Korea, Singapura dan Taiwan telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam menangani dan mengurangkan tahap kemiskinan di negara mereka.
Malaysia juga telah dapat mengurangkan tahap kemiskinan pendudukanya daripada 17 peratus dalam tahun 70an kepada 4 peratus pada pertengahan tahun 90an.
Kejayaan ini adalah secara langsung dan tidak langsung berikutan dengan ledakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang bermula pada awal tahun 1990an.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Bank Pembangunan Asia (Asian Development Bank) tahun 2001, ke semua negara-negara membangun (NIEs), di rantau Asia merupakan negara yang paling tinggi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Hong Kong umpamanya dalam tahun 1999 mempunyai talian telefon sebanyak 577.5 untuk setiap 1,000 orang, 636.1 telefon sellular, 290.5 komputer peribadi. Kajian tahun 2000 menunjukkan pengunaan Internet di Hong Kong adalah 260 untuk setiap 1,000 penduduk. Begitu juga Korea, Singapura dan Taiwan di mana pengunaan talian telefon dan telefon sellular menjangkau lebih dari 400 unit untuk setiap 1,000 penduduk sementara pemilikan komputer adalah melebihi 200 unit untuk setiap 1,000 orang. Pengunaan Internet juga telah melebihi angka 280 untuk setiap 1,000 penduduk pada tahun 2000 bagi negara-negara tersebut.
Di Malaysia penyambungan talian telefon hanya mencapai angka 203 sahaja untuk setiap 1,000 penduduk sementara pemilikan telefon sellular hanya 137 unit bagi setiap 1,000 orang. Pemilikan komputer peribadi dan penyambungan Internet hanya mencapai tahap 68.8 unit bagi setiap 1,000 waraganegara nya.
Kita berada di tahap yang lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Sri Lanka, Kazakhstan dan sebagainya.
Bagi negara maju seperti Jepun, penyambungan talian telefon dan pengunaan telefon sellular mencecah hampir 500 unit untuk setiap 1,000 orang sementara pemilikan komputer peribadi dan penyambungan Internet adalah lebih 200 unit bagi setiap 1,000 penduduk.
Sementara Amerika Syarikat pula talian telefonnya adalah melebihi 681.8 unit, telefon sellular 311.5, komputer peribadi 510.5 dan Internet mencapai 537.2 unit bagi setiap 1,000 penduduknya.
Dalam kontek ini, adalah jelas kita perhatikan bahawa kebanyakkan negara-negara yang maju dan negara-negara yang telah mencapai ke tahap sebagai negara perindustrian baru adalah merupakan negara-negara yang tahap pengunaan ICT dalam masyarakat nya adalah amat tinggi.
Keberkesanan pengunaan ICT untuk pembangunan masyarakat dan negara begitu ketara di negara-negara maju umpamanya di Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan sebagainya dan tidak lah menjadi satu kemustahilan yang feadah dan kebaikkannya yang boleh dinikmati dan dirasai bersama oleh negara-negara lain di dunia ini secara keseluruhannya.

Pembentangan kertas kerja ini adalah bertujuan untuk meneroka sejauhmana ICT dapat dijadikan kuasa penggerak dalam pembangunan masyarakat pada masa kini terutamanya dalam membangunkan ekonomi, memperluaskan peluang pekerjaan dan membantu untuk lebih berdaya saing dalam era globalisasi spertimana yang ditempuhi pada ketika ini.

2. Peranan ICT Dalam Pembangunan Masyarakat

Di negara-negara yang membangun seperti di Malaysia ini, peranan utama pengunaan ICT secara langsung adalah untuk menambahbaik taraf ekonomi bagi penduduk luar bandar dan golongan masyarakat yang kurang upaya dari segi ekonomi. Dengan kata lain, pengunaan ICT di negara ini adalah untuk mengurangkan tahap kemiskinan masyarakat negara ini secara keseluruhannya.
Pengunaan ICT secara langsung juga berupaya untuk menambah baik kehidupan masyarakat dengan membantu dalam perkara-perkara berikut:-

a. Maklumat tentang peluang perniagaan

Melalui ICT maklumat tentang harga, pasaran, jualan dsbnya dapat diperolehi dengan mudah terutamanya melalui Internet dan Internet juga dapat membantu untuk mencari pasaran baru serta memudahkan proses tempahan, penghantaran dan pembayaran

b. Membuka Peluang Pekerjaan

ICT juga boleh membantu dalam mencari kerja, maklumat tentang pekerjaan dan juga boleh digunakan untuk membuka peluang pekerjaan yang baru umpamanya menjadi pengiklan laman web

c. Kemahiran dan Pembelajaran

Pembelajaran secara jarak jauh menggunakan Internet dapat dilakukan dengan adanya ICT dan kemahiran dapat ditingkatkan melalui kaedah-kaedah baru yang boleh dipelajari secara talian

d. Penjagaan Kesihatan

Inovasi baru dilakukan untuk membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat miskin dengan menggunakan ICT. Tele-medicine sebagai contoh.

e. Urusan Pentadbiran

Pengunaan ICT dapat mempercepatkan lagi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat secara keseluruhannya

f. Pengagihan Kuasa

ICT juga boleh digunakan untuk menaik taraf perhubungan dan komunikasi di antara masyarakat umum dengan kerajaan dan membolehkan sebarang rungutan akan dapat di atasai secepatnya.
ICT juga dapat menambah baik kebajikan dan kehidupan masyarakat termiskin secara tidak langsung hasil daripada kesan deraian (trickledown effect) dari segi penambahan pendapatan dan terdapatnya peluang-peluang pekerjaan.

3. Kesan-kesan Secara Langsung Pengunaan ICT Terhadap Masyarakat

a. ICT Membantu Membuka Peluang Perniagaan

ICT boleh dijadikan sumber maklumat perniagaan. Ia dapat membantu dalam mencari pasaran terbaik untuk sesuatu barangan, membantu dalam mencari sumber bekalan barangan dengan harga yang baik, mencari kaedah penghantaran yang efektif dengan kos yang rendah serta mencari cara pemasaran yang efisyen.
Di India umpamanya, ICT digunakan dibeberapa negeri untuk pengeluar dan penjual berhubung rapat dan bertukar maklumat mengenai pasaran, harga dan bekalan. Dengan maklumat yang ada, ianya dapat membantu dalam menambah penghasilan serta mendapatkan pasaran dan harga yang baik bagi barangan dan keluaran yang kebanyakkannya dihasilkan oleh golongan petani-petani yang miskin. Ini telah dapat membantu petani-petani tersebut menambah pendapatan mereka dengan lebih baik.

Pusat Sumber

Pusat Sumber telah dibangunkan dibeberapa daerah di India dengan yang pertamanya di buka di Chennai dengan bantuan Canadian International Developmant Research Centre (IDRC). Pusat Sumber ini beroperasi untuk membantu petani-petani di luar bandar di India untuk memperolehi data mengenai cara-cara bertani dan bercucuk tanam dengan kaedah yang lebih baik. Selain itu juga pusat-pusat ini menjadi pusat rujukan bagi petani-petani mencari melalui Internet tentang perkakas pertanian yang boleh didapati dengan murah serta untuk mencari benih-benih tanaman yang baik, serta maklumat-maklumat yang berkaitan seperti pembelian insuran, peluan-peluang subsidi dan sebagainya yang akan dapat membantu mereka dalam mengharungi kehidupan harian mereka dengan lebih baik.

E-Pasar (E-Marketplace)

India menggunakan Internet untuk memasarkan pengeluran dan hasil tanaman petani miskin. Kizhur, sebuah perkampongan di Tamil Nadu menggunakan portal Internet untuk menjual sari dan pakaian tradisional India ke seluruh dunia. Di Pulau Pinang pula terdapat seorang pengusaha dusun durian yang telah dapat mempertingkatkan penjualan buah duriannya dengan menggunakan Internet melalui portalnya (Durian.Com).

Kerjasama dalam pengeluaran susu (Milk Cooperatives)

Di Gujerat, India, salah satu kejayaan penggunaan teknologi aplikasi ICT ialah meningkatkan pengumpulan susu. Teknologi elektronik telahpun digunakan untuk menyukat dan mengendalikan kuantiti serta kualiti susu yang telah dihantar oleh petani-petani. Sistem ini membolehkan proses pengumpulan dan penilaian dilakukan dengan lebih cepat dan efisien.

Tugas petani-petani sebagai pengurus

ICT boleh digunakan untuk mengurus jadual waktu petani-petani, penjadualan hasil tanaman, kawalan serangga dan rodensia, pemasaran dan juga pengurusan air. Terdapat sebahagian laman web yang telah dibangunkan secara khususnya untuk menyediakan petani-petani peruntukan maklumat daripada bentuk hasil tanaman dan ramalan kajicuaca sehingga kepada polisi-polisi kerajaan dalam pertanian terkini. Sebagai contoh, di Rajasthan, perisian yang dikenali sebagai ‘Sim Tanka’ telah membantu penduduk kampung untuk mengira jumlah air yang dijangka terdapat di dalam tangki dan kolam air berdasarkan kepada simulasi dan rekod-rekod yang lepas.

Sabtu, 27 Februari 2010

MAULIDUL RASUL

Rata-rata hanya menghafal tarikh Valentine, tetapi kalau disoal tarikh lahir Nabi Junjungan kita pasti ramai yang akan menggaru kepala. Jadi saya mengambil inisiatif untuk sama-sama kita menghafal tarikh lahir Baginda dan sedikit info mengenai kelahiran seorang insan yang amat dikasihi oleh Allah SWT serta kita semua.

Maulidur Rasul – Rasulullah Sentiasa Dihatiku

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.


Pengertian Bulan Rabiulawal

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.
Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.


Peristiwa Penting Bulan Rabiulawal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

1.Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.

2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.

7. Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

8. Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Rabu, 24 Februari 2010

KURSUS YANG DITAWARKAN

Kursus-kursus yang dijalankan adalah secara percuma kepada segenap lapisan masyarakat setempat. Antara kursus yang ditawarkan ialah :
  1. Pengenalan Kepada Linux
  2. Pengenalan Kepada Internet & Email
  3. OpenOffice Writer
  4. OpenOffice Impress
  5. OpenOffice Calc
  6. Kursus Asas Blog
  7. Kursus Asas Maintanance PC

MATLAMAT DAN MISI PENUBUHAN BESTARI.COMM

BESTARI.COMM  merupakan satu Program kerajaan negeri Terengganu dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran teknologi ICT kepada penduduk setempat dari segenap lapisan masyarakat.

Dengan adanya BESTARI.COMM, sistem penyampaian maklumat secara dua hala antara kerajaan dan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi akan berjalan dengan lancar dan berkesan.
Pada masa kini, penubuhan BESTARI.COMM telah bertambah dari 32 buah menjadi 46 buah di seluruh negeri Terengganu.
Ini menunjukkan kerajaan negeri Terengganu memandang serius tanggungjawab untuk memantapkan dan miningkatkan kesedaran teknologi ICT untuk melahirkan masyarakat yang berdaya saing selaras dengan konsep Islam Hadhari Terengganu bestari. BESTARI.COMM berperanan meningkatkan ilmu pengetahuan komuniti supaya mereka dapat menggunakan maklumat secara bijaksana untuk menangkis fitnah dan tohmahan yang boleh meruntuhkan sistem dan perpaduan di kalangan rakyat negeri ini dan negara Malaysia amnya.
Ejen perubahan yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu ini sentiasa menitikberatkan kualiti kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negari ini tidak kira sama ada dari aspek politik, sosial serta ekonomi.
Oleh itu, sistem pengurusan  BESTARI.COMM perlu diberi perhatian yang khusus dalam memastikan matlamat penubuhan serta visi dan misinya akan tercapai.
Sesungguhnya tidak dapat disangkal lagi BESTARI.COMM memikul tanggungjawab yang berat untuk membentuk rakyat Malaysia menjadi sebuah komuniti yang berpengetahuan, celik IT dan bestari bagi merealisasikan matlamat kerajaan untuk melahirkan masyarakat ulul albab.
Semoga misi  BESTARI.COMM untuk membentuk masyarakat yang bermaklumat dan bijaksana sejajar dengan wawasan negara amnya akan tercapai di masa hadapan.