Ahad, 28 Februari 2010

Kepentingan ICT Dalam Pembangunan Masyarakat Terkini

Dipetik dari Kertas Kerja Seminar PBB bertajuk "Kepentingan ICT Dalam Pembangunan Masyarakat Terkini" oleh SUK
1. Pengenalan

Kebangkitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), terutamanya Internet telah membuka minat dan harapan yang baru dalam pembangunan ekonomi terutamanya dalam masyarakat di negara-negara yang membangun seperti di negara kita.
Banyak yang berpendapat bahawa teknologi baru ini dapat memberi ruang lintas yang lebih cepat untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup jika dibandingkan dengan proses dalam era atau zaman perindustrian sebelum ini.
Teknologi Maklumat dan komunikasi (ICT) secara asasnya terbahagi kepada tiga kategori iaitu (1) Komputer (2) Komunikasi dan (3) Komputer dankomunikasi yang berteraskan Internet.


Komputer

Komputer merupakan pembaharuan teknologi yang termaju dan canggih pada pertengahan abad ke 20. Perkembangan teknologi ini begitu cepat dewasa ini adalah kerana kos atau harga komputer begitu rendah dan telah dapat menjadikan alat tersebut terutamanya komputer peribadi dapat dimiliki oleh semua golongan. Dengan pembelian menerusi KWSP dan pinjaman pembelian komputer dari kerajaan, pengunaan komputer telah menjadi begitu meningkat. Terdapatnya perisian yang terbaru dan canggih telah membantu menjadikan pekerjaan kita menjadi lebih cekap dan cepat seperti pengunaan CAD/CAM dalam melukis lakaran dan pelan-pelan bangunan, GIS untuk mencartakan peta dan perisian perdagangan, perakauanan dan sebagainya untuk membantu menjadikan pekerjaan yang dulunya adalah rumit dan rutin lebih cepat dan mudah.

Komunikasi

Sistem komunikasi adalah aspek yang terpenting dalam kehidupan pada masa kini. Komunikasi terbahagi kepada dua jenis, sehala dan dua-hala. Sehala adalah komunikasi yang menggunakan radio dan televisyen manakala komunikasi dua-hala ialah yang menggunakan telefon, telegraph, faks dan sebagainya.

Komputer dan komunikasi yang berteraskan Internet

Internet merupakan pembaharuan dalam teknologi komputer dan komunikasi. Internet mengadakan perhubungan antara komputer dengan komputer dan sekarang ini komputer boleh berhubung dengan telefon sellular menerusi kaedah SMS (Short Messaging Servises). Internet sekaran ini telah memudahkan pencarian maklumat sehingga maklumat yang dahulunya susah atau tidak boleh didapati hanya terpapar di skrin dengan hanya menekan punat pada papan kekunci komputer.
Walaupun teknologi yang ada telah dapat membawa kita ke hadapan ke era teknologi yang tercanggih dan terkini namun masih banyak lagi penduduk-penduduk dunia yang masih dalam keadaan daif dan miskin terutamanya di negara-negara yang mundur.
Mengikut statistik dari Bank Dunia 2000, dianggarkan bahawa 1.2 billion orang yang berada di bawah paras kemiskinan iaitu yang berpendapatan kurang dari US$ l sehari atau RM 120 sebulan. Dan dari jumlah itu 900 juta adalah mereka yang tinggal di benua Asia Pasifik.
Di Asia Tenggara sahaja, 50% peratus daripada penduduknya adalah buta huruf di negara seperti Kemboja dan Vietnam, kurang dari setengah daripada isirumah yang mempunyai bekalan air bersih.
Namun begitu, sejak empat dekad yang lalu beberapa negara-negara perindustrian baru (Newly Industralised Nations – NIEs) seperti Hong Kong, China, Korea, Singapura dan Taiwan telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam menangani dan mengurangkan tahap kemiskinan di negara mereka.
Malaysia juga telah dapat mengurangkan tahap kemiskinan pendudukanya daripada 17 peratus dalam tahun 70an kepada 4 peratus pada pertengahan tahun 90an.
Kejayaan ini adalah secara langsung dan tidak langsung berikutan dengan ledakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang bermula pada awal tahun 1990an.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Bank Pembangunan Asia (Asian Development Bank) tahun 2001, ke semua negara-negara membangun (NIEs), di rantau Asia merupakan negara yang paling tinggi menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Hong Kong umpamanya dalam tahun 1999 mempunyai talian telefon sebanyak 577.5 untuk setiap 1,000 orang, 636.1 telefon sellular, 290.5 komputer peribadi. Kajian tahun 2000 menunjukkan pengunaan Internet di Hong Kong adalah 260 untuk setiap 1,000 penduduk. Begitu juga Korea, Singapura dan Taiwan di mana pengunaan talian telefon dan telefon sellular menjangkau lebih dari 400 unit untuk setiap 1,000 penduduk sementara pemilikan komputer adalah melebihi 200 unit untuk setiap 1,000 orang. Pengunaan Internet juga telah melebihi angka 280 untuk setiap 1,000 penduduk pada tahun 2000 bagi negara-negara tersebut.
Di Malaysia penyambungan talian telefon hanya mencapai angka 203 sahaja untuk setiap 1,000 penduduk sementara pemilikan telefon sellular hanya 137 unit bagi setiap 1,000 orang. Pemilikan komputer peribadi dan penyambungan Internet hanya mencapai tahap 68.8 unit bagi setiap 1,000 waraganegara nya.
Kita berada di tahap yang lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Sri Lanka, Kazakhstan dan sebagainya.
Bagi negara maju seperti Jepun, penyambungan talian telefon dan pengunaan telefon sellular mencecah hampir 500 unit untuk setiap 1,000 orang sementara pemilikan komputer peribadi dan penyambungan Internet adalah lebih 200 unit bagi setiap 1,000 penduduk.
Sementara Amerika Syarikat pula talian telefonnya adalah melebihi 681.8 unit, telefon sellular 311.5, komputer peribadi 510.5 dan Internet mencapai 537.2 unit bagi setiap 1,000 penduduknya.
Dalam kontek ini, adalah jelas kita perhatikan bahawa kebanyakkan negara-negara yang maju dan negara-negara yang telah mencapai ke tahap sebagai negara perindustrian baru adalah merupakan negara-negara yang tahap pengunaan ICT dalam masyarakat nya adalah amat tinggi.
Keberkesanan pengunaan ICT untuk pembangunan masyarakat dan negara begitu ketara di negara-negara maju umpamanya di Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan sebagainya dan tidak lah menjadi satu kemustahilan yang feadah dan kebaikkannya yang boleh dinikmati dan dirasai bersama oleh negara-negara lain di dunia ini secara keseluruhannya.

Pembentangan kertas kerja ini adalah bertujuan untuk meneroka sejauhmana ICT dapat dijadikan kuasa penggerak dalam pembangunan masyarakat pada masa kini terutamanya dalam membangunkan ekonomi, memperluaskan peluang pekerjaan dan membantu untuk lebih berdaya saing dalam era globalisasi spertimana yang ditempuhi pada ketika ini.

2. Peranan ICT Dalam Pembangunan Masyarakat

Di negara-negara yang membangun seperti di Malaysia ini, peranan utama pengunaan ICT secara langsung adalah untuk menambahbaik taraf ekonomi bagi penduduk luar bandar dan golongan masyarakat yang kurang upaya dari segi ekonomi. Dengan kata lain, pengunaan ICT di negara ini adalah untuk mengurangkan tahap kemiskinan masyarakat negara ini secara keseluruhannya.
Pengunaan ICT secara langsung juga berupaya untuk menambah baik kehidupan masyarakat dengan membantu dalam perkara-perkara berikut:-

a. Maklumat tentang peluang perniagaan

Melalui ICT maklumat tentang harga, pasaran, jualan dsbnya dapat diperolehi dengan mudah terutamanya melalui Internet dan Internet juga dapat membantu untuk mencari pasaran baru serta memudahkan proses tempahan, penghantaran dan pembayaran

b. Membuka Peluang Pekerjaan

ICT juga boleh membantu dalam mencari kerja, maklumat tentang pekerjaan dan juga boleh digunakan untuk membuka peluang pekerjaan yang baru umpamanya menjadi pengiklan laman web

c. Kemahiran dan Pembelajaran

Pembelajaran secara jarak jauh menggunakan Internet dapat dilakukan dengan adanya ICT dan kemahiran dapat ditingkatkan melalui kaedah-kaedah baru yang boleh dipelajari secara talian

d. Penjagaan Kesihatan

Inovasi baru dilakukan untuk membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat miskin dengan menggunakan ICT. Tele-medicine sebagai contoh.

e. Urusan Pentadbiran

Pengunaan ICT dapat mempercepatkan lagi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat secara keseluruhannya

f. Pengagihan Kuasa

ICT juga boleh digunakan untuk menaik taraf perhubungan dan komunikasi di antara masyarakat umum dengan kerajaan dan membolehkan sebarang rungutan akan dapat di atasai secepatnya.
ICT juga dapat menambah baik kebajikan dan kehidupan masyarakat termiskin secara tidak langsung hasil daripada kesan deraian (trickledown effect) dari segi penambahan pendapatan dan terdapatnya peluang-peluang pekerjaan.

3. Kesan-kesan Secara Langsung Pengunaan ICT Terhadap Masyarakat

a. ICT Membantu Membuka Peluang Perniagaan

ICT boleh dijadikan sumber maklumat perniagaan. Ia dapat membantu dalam mencari pasaran terbaik untuk sesuatu barangan, membantu dalam mencari sumber bekalan barangan dengan harga yang baik, mencari kaedah penghantaran yang efektif dengan kos yang rendah serta mencari cara pemasaran yang efisyen.
Di India umpamanya, ICT digunakan dibeberapa negeri untuk pengeluar dan penjual berhubung rapat dan bertukar maklumat mengenai pasaran, harga dan bekalan. Dengan maklumat yang ada, ianya dapat membantu dalam menambah penghasilan serta mendapatkan pasaran dan harga yang baik bagi barangan dan keluaran yang kebanyakkannya dihasilkan oleh golongan petani-petani yang miskin. Ini telah dapat membantu petani-petani tersebut menambah pendapatan mereka dengan lebih baik.

Pusat Sumber

Pusat Sumber telah dibangunkan dibeberapa daerah di India dengan yang pertamanya di buka di Chennai dengan bantuan Canadian International Developmant Research Centre (IDRC). Pusat Sumber ini beroperasi untuk membantu petani-petani di luar bandar di India untuk memperolehi data mengenai cara-cara bertani dan bercucuk tanam dengan kaedah yang lebih baik. Selain itu juga pusat-pusat ini menjadi pusat rujukan bagi petani-petani mencari melalui Internet tentang perkakas pertanian yang boleh didapati dengan murah serta untuk mencari benih-benih tanaman yang baik, serta maklumat-maklumat yang berkaitan seperti pembelian insuran, peluan-peluang subsidi dan sebagainya yang akan dapat membantu mereka dalam mengharungi kehidupan harian mereka dengan lebih baik.

E-Pasar (E-Marketplace)

India menggunakan Internet untuk memasarkan pengeluran dan hasil tanaman petani miskin. Kizhur, sebuah perkampongan di Tamil Nadu menggunakan portal Internet untuk menjual sari dan pakaian tradisional India ke seluruh dunia. Di Pulau Pinang pula terdapat seorang pengusaha dusun durian yang telah dapat mempertingkatkan penjualan buah duriannya dengan menggunakan Internet melalui portalnya (Durian.Com).

Kerjasama dalam pengeluaran susu (Milk Cooperatives)

Di Gujerat, India, salah satu kejayaan penggunaan teknologi aplikasi ICT ialah meningkatkan pengumpulan susu. Teknologi elektronik telahpun digunakan untuk menyukat dan mengendalikan kuantiti serta kualiti susu yang telah dihantar oleh petani-petani. Sistem ini membolehkan proses pengumpulan dan penilaian dilakukan dengan lebih cepat dan efisien.

Tugas petani-petani sebagai pengurus

ICT boleh digunakan untuk mengurus jadual waktu petani-petani, penjadualan hasil tanaman, kawalan serangga dan rodensia, pemasaran dan juga pengurusan air. Terdapat sebahagian laman web yang telah dibangunkan secara khususnya untuk menyediakan petani-petani peruntukan maklumat daripada bentuk hasil tanaman dan ramalan kajicuaca sehingga kepada polisi-polisi kerajaan dalam pertanian terkini. Sebagai contoh, di Rajasthan, perisian yang dikenali sebagai ‘Sim Tanka’ telah membantu penduduk kampung untuk mengira jumlah air yang dijangka terdapat di dalam tangki dan kolam air berdasarkan kepada simulasi dan rekod-rekod yang lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan